Soalan Lazim Mengenai Pindahmilik Hartanah sebagai Hadiah di Malaysia
Soalan Lazim Mengenai Pindahmilik Hartanah sebagai Hadiah di Malaysia
Di Malaysia, pindahmilik Hartanah sebagai hadiah di antara ahli keluarga merupakan perkara yang lazim dilakukan. Anda mungkin mempunyai keraguan dan pertanyaan tentang proses atau kos yang mungkin diperlukan untuk menjalankan pindahmilik Hartanah ini. Terdapat 8 soalan lazim berkenaan pindahmilik harta sebagai hadiah dimana soalan-soalan ini berserta jawapan telah disenaraikan di bawah oleh conveyancing lawyer firma kami.
Soalan 1: Saya mempunyai sebuah Hartanah yang dibeli bersama dengan suami saya dan suami saya ingin memberi setengah daripada bahagiannya terhadap Hartanah tersebut kepada saya. Adakah ini boleh dilakukan?
Jawapan: Ya, pemindahan ini boleh dilakukan sekiranya Hartanah tersebut tidak digadaikan kepada mana-mana bank. Ini kerana, untuk melaksanakan pindahmilik Hartanah di antara pasangan suami isteri atau ahli keluarga, Hartanah tersebut haruslah bebas dari pinjaman bank (loan free).
Soalan 2: Bolehkah saya melakukan pindahmilik Hartanah sekiranya Hartanah tersebut masih tertakluk kepada pinjaman bank?
Jawapan: Tidak boleh. Pinjaman Bank hendaklah dijelaskan terlebih dahulu sama ada dengan bayaran tunai atau membuat pinjaman pembiayaan semula yang baru (refinancing). Namun, ada situasi yang amat jarang di mana bank mungkin akan membenarkan dan bersetuju terhadap pindahmilik Hartanah tersebut dan mengekalkan pinjaman yang sedia ada. Anda adalah dinasihatkan untuk melakukan semakan dengan bank anda terlebih dahulu sebelum meneruskan pindahmilik ini.
Soalan 3: Adakah khidmat guaman diperlukan sekiranya saya hendak melakukan pindahmilik Hartanah kepada anak-anak saya?
Jawapan: Ya. Khidmat peguam “Conveyancing” yang berpengalaman adalah diperlukan dalam urusan pindahmilik Hartanah samaada dari penyediaan Surat Ikatan Hadiah, Memorandum Pindahmilik (Borang 14A) dan dokumen-dokumen tambahan seperti yang ditetapkan oleh Kanun Tanah Negara dan sehingga Hartanah tersebut berjaya didaftarkan di bawah nama pemilik yang baharu.
Soalan 4: Berapa lamakah masa yang diambil bagi proses pindahmilik Hartanah?
Jawapan: Proses keseluruhan bagi pindahmilik Hartanah biasanya mengambil masa 2 bulan lebih untuk hartanah yang berstatus freehold dan agak-ahak 3 sehingga 5 bulan lebih bagi hartanah berstatus leasehold. Bagi sesetengah kes, proses bagi pindahmilik Hartanah mungkin mengambil masa yang lama sekiranya terdapat isu yang rumit contohnya jika Hartanah tersebut tertakluk kepada persetujuan kos rendah, ataupun apabila hak milik strata telah dikeluarkan tetapi belum ditukar kepada nama pemilik.
Soalan 5: Bagaimana dengan duti setem?
Jawapan: Sekiranya pindahmilik Hartanah dilakukan dengan cara kasih sayang bagi golongan yang dinyatakan dibawah, duti setem hanyalah berjumlah RM10.00 sahaja, dengan syarat bahawa nilai pasaran bagi Hartanah tersebut atau nilai pasaran bagi sebahagian Hartanah tersebut (yang akan dipindah milik) tidak melebihi RM1 juta.
Pemberi | Penerima |
Suami | Isteri |
Isteri | Suami |
Ibu bapa | Anak-anak |
Anak-anak | Ibu bapa |
Datuk Nenek | Cucu |
Cucu | Datuk Nenek |
Selain itu, pindahmilik Hartanah diantara individu-individu yang tidak dinyatakan di atas adalah tertakluk kepada duti setem ad-valorem (mengikut nilai Hartanah) seperti yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga Akta Setem 1949 seperti berikut:-
RM 100,000.00 yang pertama | 1% |
RM 100,000.001 – RM 500,000.00 | 2% |
RM 500,001 – RM 1,000,000.00 | 3% |
RM 1,000,001 dan ke atas | 4% |
Oleh itu, pindahmilik Hartanah di antara adik-beradik, mertua, rakan-rakan dan yang lain-lain adalah tertakluk kepada duti setem penuh yang dikira berdasarkan nilai pasaran Hartanah.
Soalan 6: Bagaimana untuk saya ketahui nilai pasaran Hartanah saya?
Jawapan: Anda boleh menyemak nilai pasaran Hartanah anda melalui lawan web yang memaparkan pengiklanan Hartanah. Terdapat alternatif lain dimana anda juga boleh menghubungi penilai atau ejen Hartanah untuk menjalankan semakan penilaian yang betul ke atas Hartanah anda.
Soalan 7: Bagaimana untuk saya tahu jika pindahmilik Hartanah telah selesai dilakukan?
Jawapan: Apabila peguam anda telah berjaya melakukan pemindahan Hartanah, suratan hakmilik asal (juga dikenali sebagai ‘Geran’) Hartanah akan menunjukkan nama pemilik yang baharu dan Geran tersebut akan dipulangkan kepada pemilik baharu untuk disimpan.
Soalan 8: Berapakah caj perkhidmatan guaman dan caj-caj lain bagi urusan pindahmilik Hartanah?
Jawapan: Caj perkhidmatan guaman dikira berdasarkan nilai Hartanah dan juga faktor lain seperti samaada;
- Hartanah tersebut merupakan Hartanah pegangan bebas (freehold) atau Hartanah pegangan pajakan (leasehold),
- Pemindahan Hartanah tersebut tertakluk kepada persetujuan kos rendah dan sebagainya.
Sekiranya anda ingin memindahkan Hartanah anda sebagai hadiah di Malaysia, adalah dinasihatkan untuk anda mendapatkan khidmat guaman dari peguam yang berpengalaman dalam urusan Hartanah agar proses pemindahan Hartanah anda boleh dijalankan dengan baik, sekaligus dengan kos yang mampu milik/rendah.
Dapatkan Sebut Harga & Nasihat Guaman Percuma Dari Peguam Hartanah Kami Sekarang Melalui WhatsApp Dalam Masa Kurang Dari 2 Jam Bekerja